Geran Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan
|
Geran Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan merupakan inisiatif Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertujuan memperkasakan pembangunan seni, budaya dan warisan dalam kalangan warga kolej kediaman. Melalui pemberian geran kepada kolej-kolej kediaman, program ini memberi peluang kepada mahasiswa merancang dan melaksanakan aktiviti seni budaya yang berimpak tinggi dengan bimbingan PKKSSAAS. Program ini dilaksanakan bagi memperluaskan akses mahasiswa kepada pendidikan seni budaya melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya negara. Pelaksanaan geran melibatkan sembilan (9) kolej kediaman UPM dengan pelbagai pengisian yang menampilkan kepelbagaian seni tradisional dan warisan negara. Antara program yang dilaksanakan termasuk Latihan Asas Seni Pentas dan Lakonan, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Mewarna Seramik, Bengkel Anyaman Rotan dan Bengkel Seni Khat dan Tulisan Jawi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan kemahiran asas kepada peserta, malah memberi pengalaman secara langsung dalam menghayati nilai estetika, kreativiti dan warisan budaya Malaysia. Melalui Geran Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan, PKKSSAAS berhasrat mewujudkan ekosistem seni budaya yang lebih aktif di kolej kediaman, melahirkan mahasiswa yang menghargai warisan bangsa serta membentuk komuniti kampus yang kreatif, berbudaya dan mempunyai jati diri yang tinggi. |
|
Updated:: 07/08/2026 [kamarulhelmy]

43400 UPM,
Serdang,
Selangor Darul Ehsan.