International Dance Day - Nilai Dan Kepentingan Seni Tari | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» ARTIKEL » International Dance Day - Nilai dan Kepentingan Seni Tari

International Dance Day - Nilai dan Kepentingan Seni Tari


Oleh: Abdullah Arshad

Sepanjang tahun terdapat hari-hari istimewa yang ditetapkan sebagai hari peristiwa, perayaan atau sambutan samada ada pada peringkat Malaysia ataupun antarabangsa. Adakalanya, sambutan, peristiwa dan perayaan tersebut diangkat sebagai salah satu aktiviti penting pada peringkat negara kerana impaknya kepada komuniti sasaran dan masyarakat secara keseluruhannya. Tujuannya adalah untuk memberikan kesedaran, penghargaan, memperingati atau meraikan peristiwa, pekerjaan, sumbangan, tanggungjawab, nilai kemanusiaan dan meningkatkan tahap kecintaan kepada alam sekitar seperti bumi, pokok, haiwan, air dan lain-lain. Bagaimanapun, tidak semua jenis hari sambutan perayaan atau peristiwa diraikan sekiranya ia dianggap bercanggah dengan agama ataupun memberi impak negatif kepada pembangunan sosial dan mencemarkan budaya bangsa.

 

Dianggarkan lebih daripada 120 jenis ataupun nama sambutan pada hari-hari berkenaan dalam bulan Januari hingga Disember yang disambut pada setiap tahun. Antaranya termasuklah Sambutan Hari Kusta Sedunia (26 Jan), Hari Kanser Sedunia (4 Feb), Hari Hutan Sedunia & Hari Menanam Pokok Sedunia (21 Mac), Hari Air Sedunia (22 Mac), Hari Kesihatan Sedunia (7 April), Hari Bumi (22 April), Hari Buku Sedunia (23 April), Hari Tarian Antarabangsa (29 April), Hari Ibu (Hari Ahad Kedua Bulan Mei), Hari Pekerja Antarabangsa (1 Mei), Hari Guru (16 Mei), Hari Kanak-Kanak Antarabangsa (1 Jun), Hari Populasi Sedunia (11 Julai), Hari Belia Antarabangsa (12 Ogos), Hari Keamanan Antarabangsa (21 September), Hari Binatang Sedunia (4 Oktober), Hari Makanan Sedunia (16 Oktober), Hari Diabetes Sedunia (14 November), Hari Lelaki Sedunia (19 November), Hari AIDS Sedunia (1 Disember), dan Hari Sukarelawan Antarabangsa (5 Disember).

 


Baru-baru ini pada 29 April 2020, penggiat seni tari dan komuniti dunia menyambut Hari Tarian Antarabangsa ataupun International Dance Day. Sambutan Hari Tarian Antarabangsa mungkin agak asing dan jarang sekali diberi publisiti oleh media dan juga kurang mendapat perhatian masyarakat di Malaysia. Besar kemungkinan aktiviti seni tari hanya mendapat tempat dalam kalangan kelompok tertentu sahaja dan dianggap sebagai kurang penting untuk manfaat masyarakat. Ini mungkin berlaku disebabkan terdapat jenis persembahan tarian yang menonjolkan gerakan berunsur lucah ataupun berunsurkan pemujaan tertentu atau agresif dan ganas,  atau tari bebas yang melampau tanpa sempadan antara lelaki dan wanita atau mengenakan pakaian yang menjolok mata, sekali gus mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat negara ini kerana ia dianggap mencemarkan nilai budaya dan melanggar syariat Islam.

 

Bagaimanapun, penulis berkesempatan dan kagum menyaksikan beberapa persembahan tarian yang dikongsi oleh netizen melalui media sosial yang dipersembahkan oleh penggiat seni tari yang membuat persembahan secara live daripada rumah masing-masing (memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik virus COVID-19 masih berkuatkuasa) sempena sambutan Hari Tarian Antarabangsa. Penulis mendapati tarian yang dipersembahkan adalah menarik dan boleh diterima dalam nilai budaya yang mengutamakan kesopanan, kesederhanaan, keindahan, ketertiban, kelembutan dan menghargai seni warisan bangsa. Banyak juga di antara mereka yang turut berkongsi pelbagai aktiviti persembahan kelab tarian dan pencapaian dalam bidang seni tari masing-masing. Tidak kurang hebat juga aktiviti berkaitan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri yang melibatkan artis budaya masing-masing.

 

Penulis percaya penari-penari berkenaan mempunyai bakat yang besar dan profesional dalam bidang seni tari apabila mereka berjaya mempersembahkan tarian tersebut dengan olahan koreografi yang bersahaja dan sangat berkesan. Walaupun sambutan International Dance Day pada 2020 memberi kesan secara langsung kepada keterbatasan aktiviti seni tari memandangkan seluruh dunia sedang dilanda pandemik virus COVID-19, pujian seharusnya diberikan kepada penggiat-penggiat seni tari, kelab atau persatuan seni tari kerana proaktif dan kreatif dalam menjana inisiatif untuk menyemarakkan gerak tari dalam pelbagai saluran online.

 

Dari segi sejarah sambutannya, International Dance Day mula diwujudkan pada 1982 oleh Jawatankuasa Tarian International Theatre Institute ITI, iaitu rakan utama The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dalam bidang seni persembahan. ITI diasaskan pada 1948 melalui insiatif UNESCO yang memfokuskan kepada misi untuk menggalakkan keamanan, kerjasama dan kefahaman bersama melalui seni dan sekali gus menggalakkan amalan seni persembahan di seluruh dunia, serta mengukuhkan pertukaran antara artis antarabangsa. ITI juga merupakan organisasi terbesar di dunia dalam konteks seni persembahan, iaitu mempunyai kira-kira 100 buah pusat di seluruh dunia.

 

Sepertimana dinyatakan pada awal penulisan ini,  International Dance Day disambut pada setiap 29 April, iaitu sama dengan tarikh hari jadi Georges Noverre (1727-1810), pencipta Ballet moden. Antara matlamat Hari Tarian Antarabangsa adalah untuk meraikan tarian, menghidupkan semula semangat kesejagatan dalam bentuk seni tari, merentasi semua halangan politik, budaya dan etnik, dan membawa masyarakat dunia bersama-sama memahami tarian dalam bahasa yang sama.

 

Membicara tentang tarian, penulis sangat bangga untuk berkongsi aktiviti seni tari di UPM, di bawah pengurusan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM. Kumpulan seni tari ini yang dipelopori oleh pelajar sentiasa memeriahkan pentas persembahan sama ada di dalam atau luar kampus dengan pengiktirafan dan pencapaian yang tidak kurang hebatnya, kerana program seni tari UPM dibentuk dalam ekosistem yang berstruktur melalui aktiviti kokurikulum berkredit dan pemerkasaan aktiviti kelab. Sebagai contohnya, Kelab Senitari Adimastuli merupakan sebuah kelab yang tidak asing lagi di UPM yang ditubuhkan pada awal 1990an dan kelab ini banyak terlibat dengan pelbagai pertandingan serta persembahan di dalam dan luar negara. Adimastuli juga sering kali mengharumkan nama UPM dalam pertandingan anjuran Majis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan menjadi kumpulan seni tari terpilih yang membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi berprofil tinggi.


 

Selain Adimastuli, Sekretariat Kebudayaan di Kolej-kolej Kediaman UPM juga aktif menganjurkan program seni tari dalam pelbagai bentuk dan sekali gus mewujudkan kumpulan gerak tari masing-masing. Kumpulan seni tari ini akan membuat persiapan dan mewakili kolej kediaman bagi menyertai pertandingan tarian antara kolej-kolej kediaman UPM yang dianjurkan pada peringkat universiti. Untuk memastikan kelestarian seni tari, mereka juga melatih pelajar-pelajar baharu menguasai seni tari tradisional atau moden yang melibatkan pelbagai etnik bagi menyertai program Malam Tunas Budaya, iaitu acara tradisi kebudayaan yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kolej UPM.

 

Apakah nilai dan kepentingan Seni Tari? Seni tari menzahirkan identiti kekayaan warisan bangsa dan keunikannya yang tersendiri. Gerakan, penghayatan dan daya kreativiti yang ditonjolkan melalui tarian, sebenarnya mempunyai mesej tertentu yang perlu dilihat dengan pemikiran yang positif. Setiap gerakan tari diolah dengan tenaga yang berpadu dan akal fikir yang jitu, dijelmakan melalui koreografi yang tersusun, dijiwai dan dihayati serta kesempurnaannya ditonjolkan melalui kemahiran, pengetahuan, bakat, komitmen, minat, latihan dan kerjasama yang sangat tinggi.

 

Seni tari tradisional Melayu sebagai contohnya, mencerminkan kehalusan, ketangkasan, daya kreatif, persefahaman, disiplin dan kekuatan tenaga. Semua attributes ini jika diaplikasikan dalam kehidupan yang realiti, sudah pasti akan menjana masyarakat yang halus budinya, tajam fikiran, kreatif, tangkas, cekap, harmoni, bersatu dan sekali gus menonjolkan identiti sesuatu etnik atau warisan bangsa. Kreativiti gerak tari yang diadun dengan pelbagai muzik juga berkeupayaan menjadi salah satu aktiviti gaya kehidupan yang sihat kerana gerakan fizikal dalam seni tari membantu kecergasan tubuh badan dan boleh dijadikan senaman alternatif masyarakat. Ini ternyata berlaku apabila kita boleh melihat aksi senaman pada masa ini banyak menggunakan seni tari yang diubahsuai mengikut muzik, jenis tarian dan konsep sehingga menarik minat dan perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai contohnya, persembahan Zafina, Zumba, Poco-Poco dan lain-lain lagi banyak menampilkan gerakan tari yang dipersembahkan dalam program cergas diri oleh pelbagai individu, komuniti, agensi, institusi, pertubuhan, kelab dan persatuan.

 

Pada pendapat penulis, berkecimpung dalam bidang seni tari boleh menjana pendapatan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan. Walaupun, sumbangannya dianggap masih kabur, bidang seni tari boleh melangkah jauh jika dapat mengubah persepsi masyarakat, mempunyai kerangka hala tuju yang jelas dan seterusnya penggiat seni tari mestilah diletakkan sama penting dengan profesion sosial yang lain. Mereka yang berkepentingan tidak boleh meletakkan sumbangan seni tari hanya sebagai penyeri majlis korporat semata-mata, sebaliknya perlu melonjakkan profesion seni tari dengan lebih berkesan, berkualiti, luar dari kebiasaan, dan mestilah berupaya menerobos sempadan pasaran negara.

 

Mungkin profesion tarian di negara ini belum mencapai satu tahap yang komersial dan merentasi pasaran ekonomi, tetapi usaha murni ke arah merakyatkan seni tari perlu dilihat dengan lebih holistik. Mereka yang berbakat dan aktif berkecimpung di dalam bidang ini seharusnya diberi perhatian sewajarnya dengan pelan tindakan yang lebih strategik supaya seni tari bukan hanya menyajikan pentas-pentas acara makan malam yang bermusim semata-mata atau hanya memeriahkan kuota acara pertandingan sahaja, tetapi bidang seni tari mestilah pergi lebih jauh dalam menjana profesion yang lestari dan relevan.

 

Malaysia sebenarnya mempunyai banyak keunikan dan kepelbagaian dalam bidang seni tari. Kebiasaannya setiap seni tari tersebut mewakili atau diwarisi sesuatu etnik dan kaum dalam negara, dan sekali gus menjadi identiti kepada sesebuah etnik dan kaum tersebut. Berdasarkan pengetahuan penulis, umumnya, Malaysia mempunyai beberapa jenis tarian yang terkenal mengikut negeri dan kaum seperti Tarian Gambus (Perak), Bharat Natyam (Orang India – semua negeri), Canggung (Perlis), Baghra (Sikh), Kuda Kepang (Johor), Inang (Melaka), Sumazau (Sabah), Ngajat (Sarawak), Kipas (Cina), Singa (Cina), Balai (Terengganu), Wau Bulan (Kelantan), dan Zapin (Johor).

 

Sarawak sebagai contohnya, mempunyai beberapa tarian tradisional unik yang mewakili suku kaum di Sarawak seperti Tarian Ngajat (popular dalam kalangan Orang Ulu), Tarian Koncong, Tarian Datun Julud dan banyak tarian yang lain. Kebiasaannya, semua tarian ini akan dipersembahkan pada musim perayaan oleh suku kaum di Sarawak. Penulis pernah berkhidmat di Sarawak (Bahagian Bintulu) pada tahun 2002 hingga 2007 dan beberapa kali melawat Kampung Budaya Sarawak ataupun dikenali sebagai Sarawak Cultural Village (SCV) dan berpeluang menyaksikan pertunjukkan pelbagai tarian bagi suku kaum di bumi kenyalang ini yang meriah dengan keharmonian budaya dan nilai kepercayaan. Kampung Budaya Sarawak terletak di kawasan kaki Gunung Santubong dan muzium yang terdapat di sini mempamerkan tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya seperti pakaian, kraftangan, gaya hidup, persembahan kesenian dan kebudayaan, dan kediaman tradisional masyarakat etnik utama negeri ini.

 

Selain Sarawak, Sabah juga mempunyai banyak jenis tarian kebudayaan yang juga diwarisi turun temurun dan kebanyakan tarian ini merupakan identiti bagi setiap suku kaum. Antaranya ialah Tarian Sumazau (suku kaum Kadazan Dusun), Tarian Adai-adai (suku kaum Brunei di Sabah), Tarian Daling-daling (kaum Sulu yang tinggal di Tawau), Tarian Limbai (suku Bajau), Tarian Lansaran (Suku kaum Murut), Tarian Mogunatip (suku kaum Murut), Tarian Sumayau (suku kaum Dusun), Tarian Sazau Papar (suku kaum Kadazan Dusun), Tarian Mongigol (suku kaum Kadazan Dusun), dan Tarian Sumundai-Mongigol (suku kaum Momogun Rungus).

 

Begitu juga di Semenanjung Malaysia, tarian Melayu banyak menghiasi acara-acara utama perayaan dan aktiviti persembahan seni tari sama ada dalam majlis korporat atau aktiviti kesenian dan kebudayaan yang lain. Antara tarian Melayu yang popular ialah Zapin, Mak Yong, Kuda Kepang, Tarian Lilin, Tarian Gamelan, Tarian Cek Siti Wan Bulan, Joget, Tarian Asyik, Tarian Ayam Didik, Tarian Ceracap Inai dan Tarian Ulik Mayang.

 

Memetik penulisan dalam mimbarkata.blogspot.com, MAK YONG merupakan satu-satunya kesenian Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan pada 25 November 2005. Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia. Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

 

Selain itu, Tarian Zapin juga merupakan antara tarian tradisional Melayu yang masih segar terutamanya di negeri Johor, dan tarian ini sememangnya terkenal di Malaysia dan juga di Asia Tenggara. Penulis adalah antara peminat tegar Tarian Zapin dan sering teruja dengan persembahan Zapin yang sangat kreatif gerak tarinya. Melalui pembacaan penulis melalui bahan-bahan rujukan dalam online, Tarian Zapin ini dikatakan berasal dari Yaman dan telah menular luas dalam kalangan penggemar seni tari di Nusantara, iaitu di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu, Tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah Tarian Zapin Arab, Zapin Johor, Zapin Lenga, Zapin Pekan dan Zapin Tenglu. Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola.

 

Memetik penulisan Wan Muhammad Afiq Wan Muhamad Fauzan & Sharifah Kartini Said Husain dalam kajian ilmiah “Geometri Dalam Tarian Zapin (2018)”, pada awalnya Zapin hanya merupakan hiburan yang didominasi oleh kecepatan jejak dan langkah kaki yang diiringi muzik Arab seperti Marawis, Marwas dan Gambus serta ‘Ud. Ketika mana Zapin diperkenalkan di wilayah Siam, ia terkenal dalam kalangan murid-murid setelah mengaji agama di lingkungan istana. Tetapi setelah perkahwinan antara Tengku Embung Badariah binti Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah dengan Syarif Utsman bin Syarif Abdul Rahman Syahabuddin, Tarian Zapin akhirnya bertukar menjadi seni hiburan istana sehingga dikenali sebagai Zapin Istana (Pangestu & Martion 2002). Perkembangan Zapin tidak terhenti dalam kalangan pihak istana tetapi juga dalam kalangan masyarakat Melayu dengan ragam gerak yang cukup khas.

 

Aktiviti Tarian Zapin dan tarian tradisional lain seperti joget, inang dan tarian piring yang diberi nafas baharu terus disemarakkan oleh penggiat seni tari di Malaysia. Sebagai contohnya, usaha menganjurkan pementasan TEMU 2019 di Kuala Lumpur, pada 19-21 April 2019 telah menyemarakkan persembahan seni tarian tradisional Melayu selain memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai keistimewaan dan keunikan tarian tersebut. TEMU merupakan sebuah produksi tari bergenre tradisi (tari pergaulan rakyat) yang menghimpunkan empat (4) buah kumpulan yang tidak dinaungi oleh mana-mana badan kerajaan mahupun swasta.

 

Empat (4) kumpulan ini merupakan antara empat kumpulan yang dikenali di Kuala Lumpur dan Selangor yang aktif dengan kegiatan persembahan kebudayaan, pertandingan dan produksi tari. Menurut penganjur, perkataan Temu ini digunakan sebagai nama produksi sempena mengambil dari makna temu, bertemu atau berjumpa kerana empat kumpulan ini seringkali bersaing dan berentap dalam merebut kejuaraan dalam pelbagai pertandingan yang terdapat di Malaysia ini khususnya sekitar Lembah Klang. Empat Kumpulan tersebut ialah Nyala Dance Theatre (Kuala Lumpur), Sanggar Budaya Sri Pengkalan (Kuala Lumpur), Rentak Seni (Selangor) dan Aura Tari (Selangor). Prakarsa TEMU ini selayaknya diberi pujian dan sokongan oleh kerajaan, badan pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat dalam menyemarakkan kebudayaan bangsa dan sekali gus memberikan sokongan padu terhadap penganjuran projek seumpamanya dalam membina kelestarian tarian tradisional.

 

Wan Muhammad Afiq Wan Muhamad Fauzan (2018), membuat konklusi bahawa budaya dan kesenian sesuatu bangsa menyimpan 1001 rahsia yang masih belum dikaji oleh manusia termasuklah bangsa itu sendiri. Rahsia-rahsia ini menyimpan pelbagai khazanah ilmu dan falsafah yang boleh mendatangkan manfaat yang cukup banyak.

 

Sehubungan itu, penulis berpendapat bahawa kajian terhadap kebudayaan dan kesenian terutamanya dalam bidang seni tari tradisional perlu diperbanyakkan untuk rujukan generasi kini dan akan datang. Setiap tarian mempunyai falsafah yang tersendiri kerana setiap tarian tradisional dicipta berdasarkan kisah dan pengajaran yang ingin disampaikan kepada penonton (Wan Muhammad Afiq Wan Muhamad Fauzan, 2018). Ini penting untuk meningkatkan semangat jati diri bangsa, memelihara identiti dan warisan budaya bangsa dan mewujudkan rasa penghormatan terhadap budaya bangsa yang lain. Selain itu, penggiat seni tari juga perlu diberi pengiktirafan sewajarnya dalam membangunkan dan mengembangkan seni tari untuk mengekalkan identiti warisan bangsa.

 

Tarikh Input: 16/06/2020 | Kemaskini: 30/06/2020 | kamarulhelmy

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
+603 - 9769 7328
C1596866984