Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Inisiatif Dan Amalan PKKSSAAS | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» ARTIKEL » Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Inisiatif dan Amalan PKKSSAAS

Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Inisiatif dan Amalan PKKSSAAS

 


Oleh    : Abdullah Arshad     


UPM telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun 2004 untuk menyelaras dan meneliti isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di universiti. Penubuhan jawatankuasa ini adalah selari dengan surat arahan dari Ketua Setiausaha Negara berkaitan pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan pelaksanaan arahan, peraturan, prosedur serta peruntukan Undang-undang berkaitan keselamatan dan perlindungan di Jabatan-Jabatan Kerajaan.


Untuk memastikan tadbir urus isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini dalam ekosistem yang efisien, inklusif dan efektif, UPM telah menubuhkan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada 1 Januari 2006 (kini dikenali sebagai Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) yang menjadi penyelaras aktiviti utama, penggerak dan urus setia Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.


Umumnya, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM ini bertanggungjawab dalam menguruskan latihan kompetensi, pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, mengelola aktiviti berkaitan kesedaran dan pengetahuan akan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, dan sekali gus memastikan bahawa semua akta dan polisi berkaitan dipatuhi oleh UPM.


Penubuhan Pejabat Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan sebagai sebuah PTJ di UPM dan wujudnya Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti mencerminkan betapa serius dan caknanya pihak pengurusan tertinggi UPM dalam menangani perkara-perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Ini dapat dilihat menerusi penglibatan semua entiti UPM di bawah satu tadbir urus yang komprehensif untuk merancang, melaksana dan memantau inisiatif berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Usaha ini termasuklah penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP PTJ) dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT-PTJ) pada peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ).


Sebagai sebuah PTJ, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAS) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP PTJ) dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT-PTJ) bagi memastikan semua perkhidmatan yang diterajui oleh PKKSSAAS tidak mengabaikan semua isu dan risiko dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Kedua-dua jawatankuasa ini memainkan peranan kritikal dan proaktif selari dengan arahan dan panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti. Antara inisiatif yang diupayakan oleh PKKSSAAS ialah;  pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara berkala, aktiviti kesediaan kecemasan, latihan kecemasan kebakaran (fire drill) dan lain-lain berkaitan.


Sebagai contohnya, pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dikelolakan oleh Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di PKKSSAAS dan juga PTJ lain adalah berdasarkan keperluan keselamatan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Peraturan-Peraturan, Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.


Pemeriksaan ini menggunakan borang standard yang digunapakai untuk semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM. Borang tersebut hanya boleh dipakai oleh Pemeriksa Tempat Kerja yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran peringkat UPM (JKKPP-UPM) (Induk).


Antara perkara yang diperiksa dan dinilai ialah Kemudahan Keselamatan Diri, Kemudahan Pencegahan Kebakaran, Kemudahan Perlindungan Kebakaran, Kemudahan Menentang Kebakaran, dan Rumah/Bilik Pam. Semua komponen ini adalah di bawah perundangan dan pematuhan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Sistem Pencegahan Kebakaran).


Manakala pemeriksaan yang melibatkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Manual Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM 2010, dan Pelan Pengurusan Bencana UPM 2011 pula telah menggariskan 13 komponen di bawah Perkara Am, dan 5 komponen di bawah Pelan Pengurusan Bencana (DMP).


Di bawah Perkara Am tersebut, perkara yang dilihat ialah Dasar Keselamatan, pelantikan ahli jawatankuasa mengikut peraturan JKK, keahlian jawatankuasa, mesyuarat berkala JKKP, pemeriksaan di tempat kerja, pelaporan kemalangan/aduan, penyiasatan ke atas kemalangan, tindakan daripada laporan siasatan, program latihan KKP, pakaian keselamatan, program alat lindung diri dan lain-lain lagi. Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan setiap PTJ mematuhi undang-undang dalam menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat untuk staf, pelajar dan orang awam yang menerima perkhidmatan di UPM.


Pemeriksaan ini adalah penting kepada PKKSSAAS, kerana ia bukan sahaja untuk memastikan staf dan pelanggan PKKSSAAS berada di dalam keadaan yang selamat dan sihat, tetapi juga berupaya menyampaikan perkhidmatan dengan produktif, mengamalkan budaya pencegahan dan amalan baik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Oleh kerana PKKSSAAS bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan fasiliti acara ataupun majlis, iaitu kemudahan Dewan Besar dan Panggung Percubaan yang menjadi venue pelbagai acara rasmi UPM, dan juga menyediakan perkhidmataan sewaan untuk majlis agensi luar, maka aspek keselamatan fasiliti, alatan dan kelengkapan, dan persekitaran mestilah berada dalam keadaan baik, selamat dan dapat berfungsi dengan berkesan. Justeru, Pelan Tindakan Kecemasan yang dibangunkan adalah kritikal termasuk penilaian risiko dan perkara-perkara lain yang perlu sentiasa dalam situasi siap siaga.


Semasa menguruskan perkhidmatan venue, apakah persediaan PKKSSAAS dalam konteks keselamatan? Keselamatan merujuk kepada peristiwa yang tidak dirancang atau dikawal yang disebabkan oleh manusia, keadaan persekitaran ataupun gabungan mana-mana faktor tersebut.


Situasi ini akan memberi impak kepada aktiviti pekerjaan dan perkhidmatan, dan berupaya menyebabkan kecederaan, kesakitan, kematian, kerosakan harta benda ataupun peristiwa lain yang tidak dikehendaki. Justeru, aspek keselamatan adalah penting dalam pengurusan sesebuah acara; bukan sahaja keselamatan tetamu tetapi juga keselamatan fasiliti dan alatan kelengkapan yang berkaitan.


Umumnya, sesuatu program yang menggunakan fasiliti PKKSSAAS tertakluk kepada peraturan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh UPM. Contohnya, dalam pelaksanaan majlis, pihak penganjur mesti memaklumkan jumlah tetamu atau pengunjung, atur cara yang lengkap, kelengkapan dan kemudahan yang akan digunakan, dan lain-lain yang berkaitan.


Pihak penganjur diwajibkan membentuk Jawatankuasa ERT Acara dengan bantuan dan nasihat PKKSSAAS, Unit Bantu Mula (Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM), Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan UPM. Jawatankuasa yang dibentuk akan diberikan informasi yang relevan, antaranya tentang fasiliti dan kelengkapan, pelan laluan kecemasan, fungsi bilik pemerintahan dan kawalan, kewajipan menayang video keselamatan kepada semua tetamu pada awal acara, dan tempat berkumpul yang ditetapkan jika berlaku kecemasan.


Tindakan dan amalan PKKSSAAS ini adalah selari dengan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM 2019, iaitu UPM beriltizam untuk membangunkan persekitaran dan menerapkan budaya kerja yang selamat dan sihat melalui perkongsian tanggungjawab antara pihak pengurusan dengan komuniti kampus mengikut kapasiti masing-masing bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif. Isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan akan diberi kepentingan dan diambil tindakan yang sama status kepentingannya dengan matlamat utama UPM.


Secara puratanya, lebih daripada 90 program dilaksanakan di PKKSSAAS oleh pelbagai PTJ dan institusi luar dengan jumlah anggaran tetamu melebihi 100,000 orang setahun. Dengan mengaplikasi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, program tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan, walaupun terdapat cadangan penambahbaikan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa. Ini penting kerana risiko yang tidak dijangka mempunyai cabaran dan kesannya yang tersendiri seperti hazard fizikal, kimia, biologi, trafik, ergonomik dan hazard kebakaran.


Begitu juga dengan isu kesihatan yang sedang dihadapi masyarakat dunia pada masa ini, iaitu pandemik virus COVID-19 yang mengorbankan lebih daripada 400 ribu pesakit dan menjangkiti lebih tujuh (7) juta manusia di seluruh dunia (setakat 10 Jun 2020, COVID-19 Global Update MySejahtera). Ini merupakan isu kesihatan yang bersifat global yang sangat menakutkan,  dan sekali gus menuntut kesepakatan serta kepakaran sejagat dalam menangani krisis ini.


Dalam aspek pengurusan fasiliti acara, PKKSSAAS akan memastikan kepatuhan terhadap SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memecahkan rantaian virus ini terutamanya melibatkan persekitaran tempat kerja, penggunaan infrastuktur dan kelengkapan yang berkaitan dikuatkuasakan. Sehubungan itu, dalam mendepani hazard biologi ini, SOP yang ditetapkan oleh KKM sangat membantu bagi mengelakkan pendedahan tempat kerja dan fasiliti kepada penyakit respiratori akut, termasuk COVID-19.


Justeru, beberapa tindakan telah, sedang dan akan dilaksanakan di tempat kerja dan kawasan fasiliti PKKSSAAS, iaitu: memastikan tahap kebersihan dan keselamatan di tempat kerja dalam keadaan baik, memastikan polisi tidak berjabat tangan dilaksanakan, menyediakan hand sanitizer di pintu masuk dewan, menyediakan kemudahan tempat basuh tangan untuk staf, pelawat dan pelajar, sentiasa memastikan kebersihan tandas dan lantai, menyediakan tong sampah bertutup, membuang sampah secara kerap, membekalkan sabun tangan dan tisu, menangguhkan perjumpaan, aktiviti dan mesyuarat secara besaran, mempraktikkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dalam persekitaran, dan memakai penutup hidung dan mulut sewaktu melakukan tugas.


Membudayakan pencegahan dan amalan yang baik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah penting untuk menjana persekitaran yang selamat dan bersih, sekali gus menjamin perkhidmatan yang cekap dan efektif. Oleh itu, PKKSSAAS beriltizam untuk membudayakan semua amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan, dengan harapan dapat meminimakan risiko di tempat kerja dan semasa menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan.

 

Tarikh Input: 15/06/2020 | Kemaskini: 30/06/2020 | kamarulhelmy

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
+603 - 9769 7328
C1596869459