Majlis Konvokesyen IPTS | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» BERITA » Majlis Konvokesyen IPTS

Majlis Konvokesyen IPTS

SERDANG, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) 8 Nov - Majlis Konvokesyen Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) – Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ke-19 membuktikan hasil kerjasama strategik dalam menyediakan akses lebih luas kepada pelajar untuk mendapat pendidikan formal universiti.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata IPTS perlu berada ditahap yang cemerlang sebagai pelengkap kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi ekoran tempat pengajian yang terhad.

Beliau berkata penawaran tempat pengajian IPTS merealisasikan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu bertambahnya bilangan yang mendapat pendidikan tertinggi termasuk bidang pengajian yang popular dan bermutu.

“Ke arah Revolusi Industri 4.0, institusi pengajian tinggi harus bersaing dengan sihat dan menumpukan kekuatan sendiri ke arah  kecemerlangan seperti usaha memperkukuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pembangunan pelajar serta jaringan industri dan masyarakat.

“Walaubagaimanapun, dalam persaingan memburu kecemerlangan, IPTS perlu meningkatkan semangat keserakanan antara mereka demi mencapai kecemerlangan bersama,” katanya dalam ucapan majlis konvokesyen itu.

UPM menjalinkan program kerjasama pengajian dengan enam buah IPTS iaitu Kolej Teknologi Timur, Kolej Uniti, Kolej Widad, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatic, Kolej Universiti Agrosains Malaysia dan Putra Business School sebagai bukti semangat keserakanan untuk menghasilkan output yang strategik.

Seramai 330  graduan menerima ijazah dan diploma iaitu empat ijazah PhD, 210 Master dan 116 Diploma daripada Prof Aini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

Prof Aini berkata kos pendidikan tinggi yang meningkat dan ditanggung oleh ibu bapa wajar dihargai para graduan dengan membalas sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Sebagai alumni, sentiasalah kembali ke alma mater sama ada secara fizikal atau kaedah lain  untuk bersama-sama membantu universiti atau kolej anda agar dapat meneruskan fungsi sebagai hub ilmu yang relevan kepada kemajuan negara.

Majlis Konvokesyen Program Kerjasama UPM-IPTS merupakan majlis graduan program Ijazah Kedoktoran (Ph.D), master, bacelor dan diploma daripada UPM dengan IPTS dan Putra Business School.  Majlis dikendalikan oleh UPM Education & Training dengan bantuan kolej-kolej yang terlibat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Konvokesyen Program Kerjasama UPM-IPTS ke-19, Datin Seri Datuk Hajah Norayini Ali, Pengerusi Bersama Dr. Mohd Kamil Yusoff dan Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, IPTS.

 

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto oleh Noor Azreen Awang

Tarikh Input: 09/11/2017 | Kemaskini: 09/11/2017 | akma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
603 - 9769 7327
SXEUVA5~