Perutusan Naib Canselor UPM 2019 | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» BERITA » Perutusan Naib Canselor UPM 2019

Perutusan Naib Canselor UPM 2019


SERDANG: 15 Februari 2019, PKKSSAAS UPM, berlangsungnya Majlis Perutusan Naib Canselor UPM 2019 oleh Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris. Dalam perutusannya beliau menekankan kepada  penerapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti dan tadbir urus baik dalam kalangan warga universiti untuk mampu menjadi asas kukuh kepada kewibawaan institusi diyakini serta relevan.

Beliau berkata biarpun komited mengejar kejayaan, warga kampus mestilah berpegang kepada nilai integriti dan etika kerja tinggi berikutan tiada jalan pintas untuk berjaya.

Katanya, autonomi yang diberikan kepada universiti perlu dilaksana sebaiknya termasuk amanah bagi menjayakan kebebasan bersuara, berpolitik dan akademik membabitkan pelajar mahupun pegawai akademik.

“Hal ini selari dengan aspirasi kerajaan melalui saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Pelan Antirasuah Nasional bulan lalu supaya Malaysia dikenali kerana integriti.

“Ini juga seiring dengan amanat Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) yang menekankan soal etika bekerja yang baik, khususnya dalam mengejar kecemerlangan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2019 bertemakan Ihsan: Integriti dan Kewibawaan, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (TNC) (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman; TNC (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan serta TNC Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof Dr Zulkifli Idrus.

Prof Datin Aini berkata, pencapaian dan kecemerlangan UPM perlu dipacu ke tahap lebih tinggi melalui pelan transformasi yang komprehensif pada masa hadapan.

“Kita bukan setakat mahu melihat UPM berada pada tahap kecemerlangan tetapi berwibawa apabila diiktiraf pihak luar dan menjadi rujukan kepakaran,” katanya.

Pada acara itu, turut disampaikan Anugerah Visibiliti Media UPM 2018 kepada 10 penerima terpilih mengikut kategori masing-masing.

Kategori terbabit antaranya Penulis Produktif Bidang Kepakaran, Keterlibatan Media Tertinggi, Keterlihatan Media Elektronik Tertinggi, Keterlihatan Media Cetak Tertinggi, Inisiatif Keserakanan Terbaik dan Penulis Produktif Bidang Pertanian.

Tarikh Input: 19/02/2019 | Kemaskini: 27/02/2019 | akma

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
+603 - 9769 7328
C1571690964