Busana Tradisional | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» BUDAYA » Busana Tradisional

Busana Tradisional

Busana Kedah

Kedah juga dikenali dengan nama "Kadaram" dan "Kataha". Pengasas kerajaan Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa yang juga memerintah Patani, Perak dan Siam.

Pengaruh Siam dapat dilihat pada busana tradisional masyarakat Kedah. Antaranya ialah Baju Kurung Kedah yang hampir menyerupai blaus pendek Siam, agak singkat dari baju kurung biasa, namun manis dipadan dengan kain sarung lipat. Baju Kurung Cekak Musang beserta samping atau digaya bersama Baju Sikap digemari oleh golongan lelaki. Baju Sikap Kedah ini dipakai seawal tahun 1786, mempunyai butang ke paras pinggang dengan seluar potongan Cina dan samping.

Busana Sabah

Gelaran “Negeri di Bawah "Bayu" membayangkan kedudukan negeri Sabah bukan sahaja dari sudut geografi tetapi juga keindahan yang tersirat di sebalik negeri yang kaya dengan adat tradisi, budaya, sejarah dan rupa buminya yang kehijauan serta luas mata memandang.

Keluasan negeri Sabah seluas 73620 km persegi ini menghimpunkan lebih 23 suku etnik dan setiap etnik kaya dengan adat dan budaya tradisional masing-masing. Busana tradisional mereka menggambarkan kekayaan hasil tangan seperti tenunan bersulam ‘linangkit’ dan kreativiti manik dan labuci serta pelbagai hiasan seperti hiasan kepala ‘sarempak’, hiasan leher ‘mandapun’, penutup kuku ‘keku’, tali pinggang berserta pending ‘ingkot pangkat’ juga selendang.

Kemahiran menghias pakaian dan cara berpakaian yang kemas dan cantik menjadikan koleksi pakaian negeri Sabah hebat, unik dan amat menarik perhatian.

Busana Kaum India

Kehadiran kaum India ke Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua India khususnya di kalangan Hindu-Ceylonese-Tamil juga keturunan Punjabi-Singhs. Pakaian kaum India lebih dikenali dengan warna-warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata.

Di hari perkahwinan lelaki India memakai dhoti dilengkapi dengan turban manakala wanitanya memakai sari yang digandingkan dengan choli ketat. Wanita remaja mengenakan skirt labuh 'Ihenga' juga dipadankan dengan baju pendek atau choli. Lelaki Punjabi menggayakan dhoti atau kurta dan wanitanya mengenakan salwar-khameez-dupatta iaitu seluar dengan baju labuh yang diperindah dengan sulaman benang emas dan labuci.

Busana Perlis

Perlis sebuah negeri yang kecik dari segi keluasan tetapi kaya dari segi adat dan budaya. Busana tradisional seperti Kebaya Labuh dipadan dengan kain songket diikat kuncup dengan kepala kain diletak di depan dipadankan juga kain sutera mahupun batik. Tambah anggun dengan dokoh bertingkat dan cucuk sanggul.

Golongan lelaki segak bergaya dengan Baju Sikap dan Baju Melayu Cekak Musang potongan tradisional - berkolar tinggi, berbutang lima, berpesak dan berkekek. Tiga kocek tampak tampan - satu di bahagian dada, dua di bawah sisi kanan dan kiri.

Kemaskini:: 05/09/2017 [kamarulhelmy]

PERKONGSIAN MEDIA

B1566195648