Majlis Pertauliahan Palapes Darat Universiti Awam Ke 39 | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» BERITA » Majlis Pertauliahan Palapes Darat Universiti Awam Ke 39

Majlis Pertauliahan Palapes Darat Universiti Awam Ke 39

212 PEGAWAI KADET PALAPES DARAT UNIVERSITI AWAM KE-39 ZON TENGAH 2 DITAULIAH SEBAGAI PEGAWAI MUDA
 
SERDANG, 17 Januari 2022 – Seramai 212 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, pada hari ini.
Kesemua Pegawai Kadet tersebut telah ditauliahkan di dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39 bagi Zon Tengah 2. Majlis yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain, dilangsungkan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, Serdang.
Di dalam majlis yang sama, Leftenan Muda Eddy Irwan bin Sidek dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES
Terbaik
  
UPM, manakala Pegawai Kadet PALAPES
Terbaik
 
UPNM dianugerahkan kepada Leftenan Muda Mohamad Firdaus bin Adnan.
Berikutan penularan wabak COVID-19, Istiadat Perbarisan dan Pentauliahan Diraja yang dilaksanakan setiap tahun telah dibatalkan. Oleh itu, Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES dilaksanakan sebagai simbolik kepada Perbarisan Pentauliahan Diraja tersebut. Majlis ini telah dirancang untuk dilaksanakan di lima buah zon, dijangka melibatkan 1,015 Pegawai Kadet PALAPES Darat dari 16 universiti awam, yang telah menamatkan latihan pada tahun 2020.
Tan Sri PTD dalam ucapannya, berharap Pegawai Muda yang baru ditauliahkan dapat memanfaatkan semua pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang mereka menjalani latihan PALAPES selama tiga tahun di universiti masing-masing. Tan Sri PTD turut memberi saranan agar Pegawai Muda yang baru ditauliahkan agar melunaskan tanggungjawab masing-masing dengan melapor diri ke Siri 500 Askar Wataniah agar terus terlibat aktif di dalam latihan-latihan ketenteraan Askar Wataniah agar pengetahuan yang telah diperolehi boleh terus dikembangkan. Selain itu, Pegawai Muda yang baru ditauliahkan turut berpeluang untuk memohon Skim Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ataupun menyertai Pasukan Kerahan sebelum diterima masuk untuk diserapkan ke dalam Angkatan Tetap.
Majlis sebegini akan diteruskan ke tiga buah zon yang lain iaitu, Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak, Zon Tengah 1 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Zon Utara di Universiti Sains Malaysia.
Sesungguhnya, majlis pentauliahan sebegini selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi”, yang memberikan penekanan kepada aspek pengukuhan profesionalisme, pemerkasaan jati diri dan pembudayaan integriti serta nilai etika dan moral.
Tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah dengan pangkat Leftenan Muda.

Tarikh Input: 19/01/2022 | Kemaskini: 13/10/2022 | kamarulhelmy

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
603 - 9769 7327
SXEdKAH~