Sesi Perkongsian Pintar Bersama ASTRO @ Panggung Percubaan PKKSSAAS | PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
» BERITA » Sesi Perkongsian Pintar Bersama ASTRO @ Panggung Percubaan PKKSSAAS

Sesi Perkongsian Pintar Bersama ASTRO @ Panggung Percubaan PKKSSAAS

SERDANG, 24 Mei 2023 – Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM dan KL Post Production Sdn. Bhd. telah menjalankan usahasama dengan mengadakan sesi perkongsian pintar sebagai wadah ke arah memperkasakan minat dan bakat pelajar UPM terutamanya untuk memberi ruang dan peluang meningkatkan ilmu pengetahuan, menerokai pengalaman sebenar dan dapat memberikan pendedahan yang khusus seiring dengan perkembangan penyiaran masa kini.
 
 
 
Seramai 70 orang pelajar tahun 1 hingga tahun 4 di dalam Program Bacelor Komunikasi (Major Penyiaran), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM dijemput hadir menyertai sesi tersebut. Sesi perkongsian ini telah dikendalikan oleh Encik Noradyman bin Md. Sulaiman yang merupakan Penerbit Rancangan Mega Spontan di saluran Astro Warna 132.
Melalui sesi ini, pelajar UPM dapat mempertingkatkan ilmu pengarahan, lakonan, pengurusan produksi, jurukamera/lampu/audio, suntingan dan yang berkaitan. Pelajar juga berkesempatan melawat ke bahagian-bahagian produksi seperti Bilik Produser, Bilik Kreatif, Bilik Production Design, Wardrobe, Bilik Solek, Bilik Auditor, Bilik Mixing dan lain-lain lagi.
 
 
 
Encik Husalshah Rizal Hussian, Pengarah PKKSSAAS berkata agenda ini bertepatan dengan Matlamat 1 dalam Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2021-2025, iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang. ”Ini sejajar dengan hasrat universiti bagi membantu pelajar UPM seiring dengan kehendak industri dalam mempertingkatkan tahap kompetensi pelajar khususnya di dalam bidang penyiaran yang boleh dimanfaatkan oleh mereka,” katanya.
Program rancangan Mega Spontan yang bersiaran di Astro Warna saluran 132 ini diadakan bertempat di Panggung Percubaan, PKKSSAAS bermula 19 Mei 2023 hingga 7 Julai 2023.

Tarikh Input: 28/05/2023 | Kemaskini: 01/06/2023 | kamarulhelmy

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KEBUDAYAAN DAN KESENIAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 - 9769 7327
603 - 9769 7327
SXEdJA1~