APRESIASI BUDAYA: SENTUHAN NILAI WARISAN (SENIWA) MEMBENTUK KREATIVITI KRAF TANGAN DALAM KALANGAN MAHASISWA UPM
APRESIASI BUDAYA: SENTUHAN NILAI WARISAN (SENIWA) MEMBENTUK KREATIVITI KRAF TANGAN DALAM KALANGAN MAHASISWA UPM
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej sesi 2025/2026, Kolej Pendeta Za’ba dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdu Aziz Shah (PKKSSAAS) di bawah Geran Pemerkasaan Seni, Budaya dan Warisan telah menganjurkan program Apresiasi Budaya: Sentuhan Nilai Warisan (SENIWA) bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap seni dan budaya warisan negara.
Program berbentuk lawatan sambil belajar ini melibatkan seramai 25 orang peserta bersama 15 ahli jawatankuasa kolej serta dua orang pegawai pengiring yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Melalui program ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan bengkel seni kraf tradisional seperti mewarna batik, anyaman rotan dan seni seramik. Peserta juga berpeluang mendalami sejarah, nilai estetika serta keunikan seni warisan tempatan menerusi sesi perkongsian bersama penggiat dan tenaga pakar industri kraf.
Menurut pihak penganjur, program SENIWA bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran praktikal mahasiswa dalam penghasilan seni kraf tangan, malah turut memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya serta memperkukuhkan identiti nasional dalam kalangan generasi muda.
Selain memberi manfaat kepada mahasiswa, program ini juga dilihat mampu menyokong usaha melestarikan seni warisan tempatan dan memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat secara lebih dekat. Dalam masa sama, penganjuran program ini turut membantu memartabatkan imej Universiti Putra Malaysia sebagai institusi yang menyokong pemeliharaan seni dan budaya warisan negara.
Program dengan sokongan geran pemerkasan seni, budaya dan warisan oleh PKKSSAAS ini diharapkan dapat menjadi medium berterusan dalam melahirkan mahasiswa yang lebih menghargai seni, budaya dan khazanah warisan Malaysia